Friday 20 July 2012

PUASA - BERSYUKUR KERANA KITA DI MALAYSIA

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba, alhamdulillah kita melangkah sekali lagi kedalam bulan yang mulia ini. Satu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Ya, pasti ramai yang berasa gembira dan bolehlah kita semua berlumba-lumba mengaut "keuntungan" sebanyak mungkin. Keuntungan yang sangat mudah untuk dikaut berlipat kali ganda, buat bekalan kita disana kelak.

Seperti tahun-tahun yang lalu hati saya pasti akan timbul rasa bimbang dan sedih disebalik keseronokan dalam menyambut datangnya bulan Ramadhan ini. Sedih kerana Ramadhan yang datang menemui kita hanya sepintas lalu sahaja dan ia pasti akan meninggalkan kita semua dan berlalu pergi. Bimbang kerana Ramadhan yang akan datang belum pasti kita akan ketemu lagi.

Pernahkah kita bersyukur?
Tidak ramai dikalangan kita yang bersyukur kehadrat Allah SWT kerana diberi peluang dapat menjalani ibadah puasa didalam bulan Ramadhan dalam keadaan yang cukup selesa, aman dan damai. Kita semua bebas dan selamat untuk berulang alik ke masjid dan tidak perlu risau untuk melakukan ibadah solat, termasuk bertarawih. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan diri kita, anak, isteri dan seluruh ahli keluarga yang lain. Yang pasti kita selamat melakukan segala amalan dalam bulan Ramadhan dengan baik di dalam negara yang bernama Malaysia ini.
Cuba selami isi hati wanita Rohingya ini, cuba bayangkan anda berada ditempatnya.

Saya terpanggil untuk menulis entry ini untuk mengajak kita semua melahirkan rasa syukur kita kehadrat Allah kerana kita telah dilahir serta dibesarkan dinegara ini. Tahukah anda betapa seksanya pada hari ini kehidupan etnik Rohingya di Myanmar. Berita keganasan yang dilakukan oleh pengganas Rakhine terhadap etnik Rohingya kerap kali tersiar didalam akhbar sejak kebelakang ini, mendorong untuk saya "share" tentang penderitaan mereka didalam entry kali ini. Tahukah anda bahawa muslim Rohingya sudah menjadi pelarian setelah sekian lama?
 
Antara negara yang menerima pelarian kaum Rohingya adalah Malaysia. Kami (Muslim Rohingya) hanya mempunyai 3 pilihan : 
1-Kami kekal di sini (Myanmar) dengan risiko terus dibunuh.
2-Kami berlayar ke tengah lautan dengan risiko lemas.
3-Kami menjadi pelarian jika diterima negara berkenaan.

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun mendarat di Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan kemanusiaan daripada saudara seaqidah mereka.

 
Penderitaan Muslim di Myanmar bermula pada 1982 lagi apabila secara tiba-tiba Muslim Rohingya yang diisytiharkan sebagai pendatang asing di negara sendiri. Muslim Rohingya ditindas melalui undang-undang “Burma Citizenship Law of 1982” yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi yang diluluskan oleh pemerintah junta Burma pada tahun 1982, yang mengakibatkan golongan muslim Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara, malah diisytiharkan sebagai ‘pendatang’ di tanahair mereka sendiri. Oleh yang demikian, hak mereka dinafikan, malahan ada yang ditangkap, dipukul dan pelbagai kekejaman lain yang dikenakan kepada mereka. 

Bagaimana sekiranya ini adalah anda seorang ayah yang cuba melindungi keluarga?
Di antara kekejaman yang dilakukan ke atas umat ISLAM Rohingya : 
a) Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka. 
b) Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayan Arakan
c) Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api, dan bangunan berek tentera. 
d) Sekatan makanan sehingga mereka hidup di dalam keadaan kebuluran. Anak-anak Rohingya menagih simpati dunia antarabangsa
e) Sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan
f) Wanita-wanita dan remaja perempuan mereka dirogol secara beramai-ramai oleh tentera Myanmar 
g) Penyembelihan secara beramai-ramai seumpama tragedi 1942 apabila lebih 100,000 orang dikalangan mereka yang telah dibunuh. 
h) Pada tahun 1978, seramai 300,000 di kalangan mereka telah dihalau keluar secara paksa ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan lain sehingga ramai di kalangan mereka mati kebuluran dan akibat penyakit.  


Walaupun darurat di istiharkan di Maungdaw dan kini diseluruh Arakan, pihak polis dan pengganas Rakhine dilaporkan terus menyerang penduduk Rohingya tanpa belas  kasihan. Pihak berkuasa telah menguatkuasakan Akta 144 yang menghadkan pergerakkan penduduk, namun etnik Rakhine telah dibiar bebas berkeliaran dibawah pengawasan polis untuk membakar rumah dan merampas barangan penduduk Rohingya.
Saya rasa sedih sangat melihat photo-photo ketika meng "Google" yang memaparkan wajah kesengsaraan dan sedih kaum etnik ini. Cuba kita bayangkan bagaimanakah mereka hendak menjalani ibadah puasa dengan sempurna? Bagaimana sambutan Aidil Fitri mereka? Pernahkah kita bersyukur kepada Allah kerana diri kita ini telah dilahirkan di negara Malaysia yang aman dan damai malah Malaysia adalah sebuah negara Islam yang dihormati banyak negara dunia lain.


Pernahkah kita bersyukur?
Bagaimana pula dengan nasib penduduk Samolia yang kebuluran ketika menyambut kedatangan bulan Ramadhan tahun ini? Berita dibawah ini walaupun telah tersiar pada tahun lalu, tetapi gambaran kesusahan serta kesengsaran yang mereka akan alami pada tahun ini tentu sahaja kita semua boleh gambarkan.

Faduma Aden, terpaksa menahan lapar sepanjang hari kerana tidak cukup makanan untuk berbuka. Ibu kepada tiga anak dari Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran itu berkata, beliau tetap berpuasa.

PENDUDUK Somalia mengalami kebuluran paling teruk dalam sejarah ketika ini.
PENDUDUK Somalia mengalami kebuluran paling teruk.
Hidangan mewah untuk berbuka puasa tidak pernah difikirkan oleh kebanyakan penduduk Somalia yang berhadapan dengan kebuluran paling teruk dalam sejarah. Biarpun Islam mengecualikan puasa kepada mereka yang sakit, kebanyakan penduduk Somalia tetap melakukannya.
Seperti yang lain, Mohamed Mohamud Abdulle malu kerana tiada makanan ‘bagi memenuhi kepuasan’ ketika berbuka selepas berpuasa sepanjang hari. “Bagaimana saya boleh berpuasa jika tidak ada apa-apa untuk berbuka? Semua ahli keluarga kelaparan. Kelaparan memaksa saya ke sini,” kata Abdulle antara puluhan ribu yang berjalan ke kem pelarian di negara jiran, Kenya.


Penduduk Somalia sudah biasa ‘berpuasa’ berminggu malah berbulan lamanya kerana kekurangan makanan. “Saya tidak boleh berpuasa kerana tidak mempunyai makanan untuk berbuka dan sahur,” kata Nur Ahmed, bapa kepada enam anak di kem yang menempatkan pelarian Somalia di Mogadishu. Isterinya meninggal tahun lalu ketika bersalin.
Sheik Ali Sheik Hussein, ketua masjid di Mogadishu bimbang apabila ramai penduduk tidak dapat berpuasa kerana terlalu lemah akibat kelaparan dan tiada makanan untuk berbuka.


“Kami meminta umat Islam seluruh dunia menderma bagi membantu mereka yang kebuluran,” katanya.


Pernahkah kita bersyukur?
Bagaimana pula dengan rakyaat Palestin yang saban hari berganti minggu berganti bulan dan berganti tahun, hidup sentiasa menderita akibat kekejaman Yahudi. Pernah atau tidak kita cuba bayangkan diri kita ini adalah rakyaat Palestin yang tinggal dinegara tersebut? Bagaimana agaknya mereka menjalani ibadah puasa didalam bulan Ramadhan tahun ini? Hendak tak nak hidup mesti diteruskan juga. Perintah Allah tetap perlu dilaksanakan oleh mereka walaupun dalam keadaan tidak selesa dan tidak selamat.


Pernahkah kita bersyukur?
Pernah jejaki Urumqi dan Kashgar suatu ketika dulu ketika bulan puasa dan menyambut hari raya disini
Bagaimana pula keadaan saudara kita di wilayah Xinjiang China yang telah ditindas oleh kerajaan mereka? Pada tahun lepas Muslim Uighur kembali menderita akibat tindakan keras pemerintah Cina terhadap minoriti etnik di wilayah barat laut Xinjiang itu dengan larangan berpuasa dan beribadah di masjid-masjid. Jika ada tokoh agama bertazkirah Ramadhan atau mendorong orang untuk ambil bahagian, maka mereka akan kehilangan keizinan permit untuk berdakwah.

Dibawah pemerintahan Beijing, Pemerintah Daerah Xinjiang, penduduk Islam diminta menandatangani ‘surat akuan’ yang isinya berjanji untuk tidak berpuasa dan solat tarawih atau kegiatan keagamaan lainnya selama ramadhan. Sementara perusahaan swasta menawarkan makanan disiang-hari kepada pekerja Muslim Uighur. Siapa yang menolak untuk makan akan kehilangan bonus tahunan mereka atau kemungkinan kehilangan pekerjaan mereka. 
Sasaran juga termasuk sekolah Islam, untuk menyediakan makan diwaktu siang hari selama masa puasa. Seorang warga Uighur Beijing mengatakan siswa di bawah 18 tahun dilarang puasa selama bulan Ramadhan. Selain itu, pemerintah memaksa restoran di wilayah majoriti Muslim untuk tetap dibuka sepanjang hari.


Orang ramai juga sukar memasuki masjid untuk bersembahyang. Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan diri dan mendaftar jika ingin masuk ke masjid. Kes yang lebih serius apabila penangkapan dibuat bagi mereka yang melakukan ibadah tarawih yang dinilai menyalahi undang-undang.


Itu adalah diantara beberapa negara yang mempunyai penduduk beragama Islam yang diduga oleh Allah SWT.

Adakah kita semua di negara ini pernah bersyukur? 
 copy paste dari insan untuk memberi nilai

No comments:

Post a Comment